follow

Thursday, July 14, 2011

kisah kita rumit IV


**********

"Sebelum kehadiran awak, saya memang seorang lelaki yang tidak pernah mengenali apa itu cinta sejati. Orang kata saya ni macam kayu. Tak ada perasaan kat mana-mana perempuan. Tak kurang juga ada yang kata saya ni suka kaum sejenis. Alahai, minta simpang jauh-jauh. Entah macam mana, awak muncul pertama kalinya depan mata saya, kat kedai mamak Jalan Indah tu. Keayuan awak memakai baju kurung rona kelabu itu betul-betul buat hati saya jadi tak keruan. Bermula dari saat itu, saya teringin nak berkenalan dengan awak. Tapi saya tak berani nak mulakan bicara. Yelah, orang tak pernah kenal perempuan, jadi seganlah saya. Saya perhatikan awak dari jauh. Dan keesokkan harinya, awak datang lagi kat kedai tu. Dan saya tahu, saya tak boleh lepaskan peluang untuk kenal dengan awak sebab mungkin hanya hari itu sahaja saya akan nampak awak. esok lusa belum tentu. Jadi, saya pun ekori awak, dan akhirnya saya tahu mana awak tinggal. Saya pelik kenapa saya ada perasaan ingin tahu sedemikian rupa. Dan sejak daripada tu, saya tahu, yang saya telah jatuh cinta dan saya betul-betul inginkan insan yang telah beri saya cinta itu..." Is mengingatkan kembali cerita lama yang terbuku. Aku turut terbuai mengimbau detik itu bersama Is.

"Kejadian beg awak diragut dan saya tolong selamatkan awak itulah permulaan pertama perkenalan kita. Indah sangat saat itu, awak. Walaupun hanya di tepi jalan kita mula berkenalan, tapi saya akan kenang bagaimana malunya saya nak bertanyakan nama awak. Bila awak menyambut baik salam perkenalan dari saya, saya tahu, itulah peluang yang saya tak boleh lepaskan lagi. Di saat itu saya berjanji untuk mengenali awak, ikhlas dengan awak, dan mencintai awak sepenuh hati saya kerana itulah saat pertama saya jatuh cinta. Indah sangat saat bersama dengan awak. Kawan-kawan semua gembira dengan saya, sebab akhirnya saya buktikan yang saya masih ada perasaan terhadap perempuan. Tapi itulah........ kita hanya mampu merancang, tuhan menentukan. Orang yang kenalkan saya dengan manisnya cinta, orang itu jugalah yang kenalkan saya dengan deritanya perpisahan," panjang nafasnya dihela. Seolah-olah berat mulutnya mahu meneruskan bicara. Tatkala Is bercerita, aku berasa sebak. Kolam airmata ini seolah-olah tidak tertampung lagi. Bila-bila masa sahaja ianya mampu merembeskan titik-titik jernih ke pipiku.

"Saya berikan seluruh jiwa raga saya pada awak dan sayang awak sepenuh hati, Alia. Bila awak ambil keputusan untuk pergi, maka awak bawa jiwa dan hati saya sekali. Saya tahu saya tidak seperti apa yang mahukan, Alia. Mungkin saya tidak berpendidikan tinggi mana, tak sekaya mana, tak seindah wajah si dia.. tapi saya punyai hati dan perasaan yang telah saya curahkan pada awak. Saya pernah terfikir, apa salah saya pada awak sampai awak sanggup tinggalkan saya demi orang itu? Dan kenapa awak pergi sepi tanpa berita, tinggalkan saya terkontang-kanting menanggung seksa. Kalau iman tak kuat masa tu, saya boleh jadi gila, Alia. Ke mana saya pergi, saya pasti akan terbayangkan awak, nampak wajah awak di mana-mana. Setiap kali telefon berbunyi, saya mengharapkan, ianya daripada awak. Tapi hampa.. Selama dua tahun saya kemurungan. Seolah-olah hilang nyawa untuk terus hidup, kerana awak dah bawa jiwa saya pergi. Sejak daripada itu, saya tutup hati saya untuk cinta. Saya tak berani nak tanggung sakitnya derita perpisahan lagi. Tapi jujur saya katakan, saya masih belum boleh lupakan awak sepenuhnya. Maafkan saya, Alia Adilla," ujar Is sambil tertunduk diam memandang rumput yang hijau.

Aku mengalihkan pandangan aku daripada Is. Cuma menahan airmata daripada jatuh mengalir di pipi gebuku.
Maafkan aku, Is. Aku telah buat keputusan yang salah dengan meninggalkanmu dan membuat dirimu terseksa. "Is, boleh saya tanya? Kenapa awak susah sangat nak lupakan saya? Saya dah buat jahat pada awak, curang pada awak. Kenapa masih ingat?" soal aku menginginkan jawapan.

"Cinta pertama susah nak lupa, awak. Ia membawa kesan yang mendalam sangat kat saya. Awak perkenalkan saya erti cinta. Sebab tu, bila saya terfikir ingin jatuh cinta lagi, saya akan teringatkan awak. Lagipun, saya takut saya tak mampu jadi yang terbaik untuk insan yang saya cintai. Saya hilang keyakinan diri. Dan mungkin juga luka ini terlalu dalam, ambil masa yang lama untuk sembuh..," jawab Is dengan nada sayu. Aku dapat rasakan keperitan yang dilalui oleh Is. Ikhlas sungguh dia mencintai aku rupanya. Mengapakah tegar aku lukai hati lelaki yang naif tentang cinta ini? "Tapi jangan risau, Alia. Saya takkan ganggu kebahagiaan yang awak sedang kecapi bersama si dia. Saya cuma mahu kita jadi kawan je. Tak lebih..," Is menyambung bicara.

"Is, saya minta maaf Is sebab saya tinggalkan awak dulu. Saya buta dalam menilai cinta. Saya nampak apa yang ada pada dia sampai saya butakan mata pada keikhlasan cinta awak pada saya. Mungkin balasan saya kerana tinggalkan awak dulu....dia juga telah tinggalkan saya demi perempuan lain. Saya dah terima hukuman saya. Saya pun rasa apa yang awak rasa, rasa ditinggalkan. Bagaimana sepi dan sakitnya rasa ditinggalkan. Sebab itu saya rasa bersalah pada awak. Maafkan saya, Is. Maafkan, Alia," airmata aku jatuh juga tatkala memohon maaf daripada Is. Kalaulah masa tu boleh aku undur, pastinya akan aku corakkan pengalaman cinta yang paling indah untuk Is, takkan sesekali aku contengkan ia dengan perkara-perkara buruk yang akan mencacatkan cinta itu...

Aku dan Is saling berpandangan. Linangan airmata mengalir laju di pipiku. Pandangan dari Is betul-betul menghanyutkan aku dalam ketulusan cintanya dahulu. Adakah hatinya yang telah tertutup untuk cinta itu masih mempunyai ruang untuk diriku? Dan adakah cinta aku pada Is masih berbaki dalam hatiku ini? Bercelaru keadaan kami kini. Kalau kami ada ikatan yang sah, ingin sahaja aku menangis di bahunya, menyatakan kekesalan aku dengan apa yang terjadi. Is, maafkan Alia. Kerana Alia, Is menderita...

**********

nota kaki :
  1. Akan cuba menamatkan Kisah Kita Rumit tak lama je lagi.
  2. Inilah cara aku membuang masa T__T
UPDATE : Bahagian 5 (bahagian akhir)
mood sedih,

2 tinta berbisa:

MF said...

nice! ain jiwang.. haha

AinSyaz said...

MF :

tq. haha. tau dah tu T__T

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...